Kita akan ada PM baharu – Bung Moktar

Kita akan ada PM baharu – Bung Moktar

Kota Kinabalu: “Tidak lama lagi kita akan ada seorang Perdana Menteri baharu Malaysia. Doakan yang terbaik untuk rakyat,” kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata demikian dalam ciapan di Twitter beliau selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Majlis mengadap itu bagi mengesahkan akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen yang menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Seramai 114 Ahli Parlimen daripada UMNO-Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat Ahli Parlimen Bebas Pro-PN menghadiri sesi mengadap berkenaan.

Ismail Sabri dicalonkan BN sebagai Perdana Menteri berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu.

Beliau mendapat sokongan sebulat suara semua Ahli Parlimen BN dan PN selain GPS dan Ahli Parlimen Bebas Pro-BN.

Di pihak pembangkang, Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon dengan disokong Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pejuang, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan beberapa wakil rakyat Bebas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|