Pelan Pemulihan Pelancongan kembalikan sumbangan sektor pelancongan di Sabah

Pelan Pemulihan Pelancongan kembalikan sumbangan sektor pelancongan di Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah sebagai panduan dan persediaan dalam usaha memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata langkah itu menyenaraikan pelbagai usaha ke arah mengembalikan sumbangan sektor pelancongan yang sebelum ini menjadi antara penyumbang penting ekonomi negeri.

Katanya, sejak tahun lalu, Sabah mencatat penurunan kedatangan pelancong yang ketara dengan hanya seramai 977,460 orang berbanding 4.2 juta orang pada 2019, membabitkan penurunan sebanyak 76.7 peratus.

Beliau berkata, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini pula merosot sebanyak 85.2 peratus kepada hanya 108,862 orang berbanding 736,921 orang dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Anggaran jumlah terimaan pelancongan di Sabah dalam enam bulan pertama tahun ini menyusut dengan ketara sebanyak 88 peratus iaitu bersamaan dengan RM1.28 bilion kepada RM174 juta sahaja berbanding RM1.45 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2020.

“Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah sebagai panduan dan persediaan dalam usaha memulihkan industri pelancongan.

“Antara pendekatan yang diambil di bawah pelan pemulihan ini ialah memperhebatkan usaha untuk merangsang pembangunan sektor pelancongan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan, terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan pada majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, hari ini.

Di samping itu, katanya pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya serta khazanah alam di negeri ini juga akan terus diberikan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan kembali industri pelancongan, sekali gus memberi kesedaran kepada orang awam mengenai pentingnya aspek berkenaan.

Beliau berkata pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya serta khazanah alam penting agar dapat dinikmati dan dimanfaat oleh setiap golongan masyarakat, termasuk generasi yang akan datang.

“Salah satu khazanah budaya yang kini dalam pemerhatian dan bakal melalui proses pemuliharaan ialah Wisma Radio Sabah, iaitu bangunan yang terletak di kilometer 2.4 Jalan Tuaran yang dahulunya adalah sebahagian daripada kompleks RTM Sabah.

“Bangunan lama Wisma Radio Sabah itu mula dijadikan pusat penyiaran radio pada awal 1960-an dan pernah menempatkan Persidangan Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1962 berhubung penyertaan Sabah dalam pembentuka Persekutuan Malaysia.

“Kini, kawasan itu sedang dalam proses tuntutan semula oleh kerajaan negeri sesuai dengan nilai sejarahnya dan pengiktirafan sebagai Khazanah Budaya Negeri oleh kerajaan negeri Sabah bermula pada September 2017,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada Radio Sabah Alumni Association (RASA) yang memperjuangkan usaha untuk pengekalan dan pemuliharaan bangunan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|