Tuntutan hak hasil di bawah MA63 diteruskan

Tuntutan hak hasil di bawah MA63 diteruskan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan hak hasil untuk Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata ia antara usaha bagi memastikan hasil negeri kekal mampan dan dapat menjamin kesejahteraan rakyat terutama ketika ekonomi dan sumber pendapatan rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, sumber hasil baharu yang diperkenalkan pada tahun lalu melalui Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum menyumbang secara signifikan ke atas sumber kewangan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri beriltizam untuk terus
memastikan sasaran anggaran hasil yang ditetapkan pada tahun ini dapat dicapai, di samping akan terus memperjuangkan tuntutan hak hasil di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
50,” katanya.

Juhar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan pada majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya selaras dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0), kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa dan merasionalisasikan pengurusan sumber untuk mencapai matlamat dan strategi Bajet Negeri.

“Ini termasuklah pendigitalan beberapa proses penting di Kementerian Kewangan seperti kutipan hasil dan belanjawan pembangunan.

“Sistem-sistem yang sedang dan akan dibangunkan ini akan meningkatkan produktiviti, penyampaian dan pencapaian hala tuju pembangunan negeri dengan lebih efisien dan efektif.

“Usaha ini juga berlandaskan kepada dasar perbelanjaan berhemat dan berintegriti melalui penguatkuasaan ke atas pematuhan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan ke arah menangani ketirisan, pembaziran dan pemborosan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan inisiatif untuk memastikan badan berkanun, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sentiasa relevan dan berdaya maju dalam merealisasikan matlamat dasar erajaan negeri.

Dalam pada itu, Juhar berkata sebagai langkah ke hadapan, kerajaan negeri akan terus melipat ganda usaha dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta program pembangunan, khususnya projek pembangunan berorientasikan modal dan berpusatkan rakyat.

Jelasnya, ia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan dan meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat negeri Sabah.

“Saya yakin segala inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri pada masa ini untuk memulih dan merangsang semula ekonomi Sabah yang terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan nasional serta pandemik Covid-19 akan dapat dilaksanakan dengan jayanya, insya-Allah.

“Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Hala Tuju SMJ 1.0 yang bermula pada tahun ini sudah pasti akan menjadi pemangkin untuk melonjakkan semula pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

“Syabas sekali lagi kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama anggota jemaah Kabinetnya yang sentiasa bertungkus lumus bekerja dan berkhidmat demi kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai.

“Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, namun, dengan iltizam politik yang tinggi serta keikhlasan yang dipamerkan dalam mengurus dan mentadbir negeri serta dengan sokongan padu seluruh rakyat, insya-Allah, kerajaan negeri ini akan berupaya dan pasti berjaya membawa Sabah kembali ke mercu kejayaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|