Pelajar SMAN terima komputer melalui program BAIK

Pelajar SMAN terima komputer melalui program BAIK

Papar: Sebanyak 10,000 unit komputer diagihkan kepada pelajar sekolah termasuk Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Sabah bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan supaya tidak tercicir dalam proses pembelajaran di fasa pandemik ketika ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jumlah itu membabitkan pengagihan fasa pertama bagi program Bantuan Ihsan Komputer Riba (BAIK) di negeri ini.

Katanya, bantuan BAIK ini turut disalurkan kepada sekolah di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Bagi program BAIK ini di seluruh Sabah sebanyak 10 unit komputer diagihkan dan peruntukan yang diluluskan Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) untuk fasa pertama tahun ini.

“Semua penerima adalah daripada golongan B40 yang telah dikenal pasti oleh pengetua sekolah masing-masing dan setakat ini hampir keseluruhan pelajar sudah menerimanya,” katanya kepada media selepas melawat SMAN Toh Puan Hjh Rahmah, di Kinarut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin berkata, penyerahan komputer turut dibuat di sekolah di daerah lain di seluruh Sabah.

“Saya sudah adakan penyampaian komputer di sekolah di Ranau, Kota Belud, Tawau dan Sandakan. Selepas ini, di Keningau dan Beaufort dan beberapa hari kemudian saya akan ke Semporna, Lahad Datu dan Kunak.

“Jadi untuk hari ini, sebanyak 50 komputer diagihkan kepada pelajar di sekolah ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap, program ini diteruskan bagi membantu pelajar lain yang memerlukan.

“Kita berharap untuk tahun hadapan, akan dapat bantuan seumpama ini kepada pelajar lain juga melalui pembentangan bajet negeri nanti,” katanya.

Terdahulu, seramai 50 pelajar di sekolah berkenaan menerima komputer program BAIK dalam lawatan terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|