FMU, NGO digesa sokong pemuliharaan hutan

FMU, NGO digesa sokong pemuliharaan hutan

Kota Kinabalu: Pemegang konsesi Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) atau Unit Pengurusan Hutan (FMU) digesa supaya menyokong pelan pemulihan dan pemuliharaan hutan yang dilaksanakan Jabatan Perhutanan Sabah.

Gesaan yang sama turut ditujukan kepada pemain industri hiliran dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan perhutanan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pujian perlu diberikan kepada konsesi SFMLA atau FMU yang mengekalkan pensijilan pematuhan dalam pengurusan hutan dan semua rakan pemuliharaan hutan atas sumbangan mereka dalam aktiviti konservasi di negeri ini.

“Saya percaya Jabatan Perhutanan Sabah dengan jalinan kerjasama dan penglibatan semua pihak yang berkaitan mampu untuk terus mencapai kecemerlangan dalam agenda konservasi hutan dan pemulihan ke arah pengurusan hutan secara lestari untuk anak cucu kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Perhutanan 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Sam Mannan (Perhutanan) dan Datuk Darrel Webber (Perubahan Iklim); dan Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan.

Hajiji turut meminta Jabatan Perhutanan negeri memainkan peranan aktif dalam memacu pembangunan eko pelancongan yang dikenal pasti sebagai tonggak ekonomi utama dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Seperti yang disebut oleh Ketua Konservator Hutan (Pengarah Perhutanan) sebelum ini, eko pelancongan dan perhutanan adalah saling berkaitan.

“Hutan kita adalah habitat kepada kepelbagaian bio, yang mana kita boleh menemui antara lain pokok dipterocarp tertinggi di dunia dan orang utan, gajah, beruang serta tembadau.

“Semua ini adalah tarikan utama untuk pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah tetapi saya percaya sebagai sektor eko pelancongan bertaraf antarabangsa, masih banyak yang perlu diterokai dan diperbaiki, terutama selepas pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan kerajaan negeri untuk terus melihat kawasan hutan di Sabah berfungsi dengan baik seiring dengan inisiatif Jantung Borneo atau Heart of Borneo (HoB) menerusi perspektif jaringan kelestarian hijau.

Jelasnya, ia sejajar dengan aspirasi SMJ yang menekankan usaha pemuliharaan dan mengekalkan hutan serta biodiversiti demi kepentingan Sabah dan negara atau dunia keseluruhannya.

Berikutan usaha itu, Hajiji memuji inisiatif Jabatan Perhutanan dalam melaksankan langkah awal ke arah mencapai kelestarian hijau yang disifatkan sebagai langkah bijak.

Katanya,dengan memastikan 30 peratus atau 2.2 juta hektar hutan Sabah menjadi Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) menjelang 2025, ia akan melengkapkan usaha mewujudkan koridor dan menyelesaikan isu ketersambungan hutan simpan di seluruh negeri.

Hajiji juga mengambil maklum mengenai inisiatif Jabatan Perhutanan dalam usahanya untuk membentuk semula sektor perhutanan bagi membawa manfaat sosial dan ekonomi berimpak tinggi kepada masyarakat.

“Ia termasuk melihat usaha menjana pendapatan melalui produk bukan kayu seperti karbon kredit, pembangunan tenaga hijau hidro, pengkomersilan hasil penyelidikan, kajian semula lesen SFMLA atau FMU yang tidak berdaya maju, penstrukturan semula sektor industri kayu-kayan yang lebih inklusif dan pelan tindakan tranformasi ladang hutan.

“Sebagai penghuni atau pemilik tanah, kita lebih tahu apa yang terbaik untuk mengurus hutan kita. Saya percaya Jabatan Perhutanan sebagai agensi yang diamanahkan dalam menguruskan sumber ini sudah mengambil kira semua aspek, sejajar dengan pengurusan hutan lestari untuk memenuhi keperluan generasi kini dan akan datang,” katanya.

Terdahulu, Hajiji turut menekankan kepentingan ‘character building’ terutama dalam memastikan tahap integriti yang tinggi dalam kalangan kakitangan.

“Sektor awam dan jabatan yang diamanahkan untuk menyimpan maklumat sulit kerajaan serta mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan mesti mempunyai integriti.

“Pelan anti rasuah yang dirangka oleh kerajaan akan menjadi penanda aras kepada semua kementerian, jabatan dan agensi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|