Bomba bantu tanggal cincin di jari manis

Bomba bantu tanggal cincin di jari manis

Kota Kinabalu: Pasukan bomba dipanggil untuk membantu khidmat khas memotong cincin pada jari manis tangan kiri seorang lelaki di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, hari ini.

Sebelum itu, lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan menerima rawatan di HQE II kerana mengalami cedera selepas terbabit kemalangan.

Akibat kejadian itu, jari manis kirinya membengkak sebelum kakitangan perubatan cuba mengeluarkan cincin dipakainya.

Bagaimanapun kakitangan perubatan mengalami kesukaran sebelum bertindak menghubungi bomba pada jam 3.53 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, sepasukan anggota dari BBP Lintas yang diketuai Mohd Faizal Alias bergegas ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati cincin masih melekat pada jari manis di tangan kiri lelaki berkenaan dan gagal dikeluarkan.

“Operasi membuka cincin kemudian dilakukan dengan menggunakan peralatan khas sebelum cincin berjaya ditanggalkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, operasi tamat pada 4.36 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|