MUIS, mufti akan perjelas isu kuih bulan ada DNA babi

MUIS, mufti akan perjelas isu kuih bulan ada DNA babi

Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bersama pejabat mufti Sabah akan beri penjelasan berhubung isu kuih bulan yang dilaporkan mempunyai sampel asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkara itu akan diperjelaskan kepada orang awam dalam masa terdekat.

Mohd Arifin merasmikan pejabat MUIS Hub Halal di Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

“InsyaAllah, MUIS akan bersama mufti dan pegawai kita akan beri penjelasan perkara ini,” katanya kepada media selepas merasmikan MUIS Hub Halal di Wisma MUIS, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung hukum orang Islam yang termakan kuih bulan yang dilaporkan terdapat DNA babi baru-baru ini.

Ditanya berhubung penguatkuasaan bagi mengelak perkara itu berulang, Mohd Arifin berkata, MUIS akan memperkasakan penguatkuasaan untuk membuat pemeriksaan di setiap premis yang membuat permohonan dan mendapat sijil halal.

“Kita akan melaksanakan apa yang perlu dari segi penguatkuasaan dan InsyaAllah hab halal akan memperkasakan juga penguatkuasaan seperti isu sebelum ini berhubung daging dan sebagainya.

“Kita akan bersama dengan jabatan sedia ada berkaitan yang mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Arifin menyeru supaya orang ramai membuat laporan jika terdapat keraguan pada status halal sesuatu perkara.

Mengulas mengenai majlis itu, MUIS akan menjadi peneraju hab halal di Sabah bagi memperkasa dan memastikan status halal terus terpelihara.

“Tujuan penubuhan pejabat MUIS Halal Hub ini adalah untuk memastikan halalan toyiban menjadi fokus di negeri ini.

“Di bawah hab halal ini segala urusan berhubung halal, penyelarasan berhubung permohonan halal dan pemeriksaan halal akan dilaksanakan MUIS dengan bantuan serta kerjasama agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kementerian lain yang ada hubungan dengan halal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|