Fungsi siren perlu difahami

Fungsi siren perlu difahami

Kota Kinabalu: Selain mengetahui fungsi siren amaran, masyarakat juga perlu mengambil tahu dan memahami jenis nada bunyi amaran yang dikeluarkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dr Norhafifi Ismail berkata, semua bunyi siren yang dikeluarkan adalah sama dan standard seperti digunakan di mana-mana negara seluruh dunia.

Katanya, ia adalah peranan APM seperti digariskan mengikut Seksyen 2B Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221) untuk memberi latihan dan mengajar semua agensi, organisasi dan orang awam.

“Latihan itu membabitkan aspek pertahanan awam yang turut meliputi ilmu keselamatan diri melalui nada-nada amaran bencana.

“Selain itu, APM turut bertanggungjawab untuk menyedia, menyelenggara dan mengoperasikan siren amaran. Pihak APM turut menjadikan perlaksanaan dan perluasan system amaran awam sebagai salah satu program teras dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK12),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan selepas Uji Lari Siren Amaran Awam APM Sabah, di Bangunan Rumah Persekutuan, di sini, hari ini.

Norhafifi berkata, ini termasuk sesi libat urus siren amaran dalam satu system yang terintegrasi selain usaha berterusan semua pejabat APM peringkat negeri dan daerah seluruh negara dalam menyebarluas pengetahuan mengenai nada siren amaran ini.

“Pastinya, APM berharap, melalui ujilari ini, ia akan memberi pendedahan dan pengetahuan baharu kepada agensi mengenai keperluan pembangunan siren amaran.

“Ia bagi memaklumkan lebih awal sebarang situasi dan kemungkinan bahaya serta ancaman yang boleh mengugut keselamatan negara khususnya di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Norhafifi berkata, siren yang di ujilari hari ini dipasang pada tahun 1960-an yang merupakan sebahagian daripada asset pepasangan khas keselamatan khusus bagi memberi amaran awal mengenai serangan udara dan ancaman insurgensi atau peperangan ketika itu.

Bagaimanapun katanya, dalam situasi Ketika ini, ia masih relevan dan berkesan untuk memberi amaran kepada orang awam mengenai sebarang bencana alam ataupun bencana buatan manusia.

“APM berjaya menemui semula dua unit siren elektrik dan tujuh siren manual pusingan tangan. Hasil selenggara yang dijalankan, semua siren masih berfungsi dengan baik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|