PBS ajak semua pihak sokong cadangan RUU anti lompat parti

PBS ajak semua pihak sokong cadangan RUU anti lompat parti

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengajak semua pihak menyokong usaha ke arah merealisasikan cadangan menggubal undang-undang yang menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata sebagai parti yang pernah menjadi mangsa perbuatan lompat parti pada 1994, PBS sangat berharap undang-undang berkenaan akan menjadi kenyataan.

Sebagai usaha ke arah itu, katanya orang ramai diajak memberi pandangan melalui tinjauan anti lompat parti yang sedang dijalankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri yang berakhir pada 7 Disember ini.

Jelasnya, input dan pandangan orang ramai penting bagi menggambarkan sokongan mereka terhadap rang undang-undang (RUU) anti lompat parti yang bakal dibentangkan di Parlimen.

“Kita memerlukan undang-undang yang berkesan untuk menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen daripada bertukar parti. Oleh itu, sokongan dan input daripada semua rakyat Malaysia amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, baru-baru ini mengumumkan satu tinjauan mengenai RUU itu yang dilaksanakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di kementerian berkenaan yang bermula sejak 23 November lalu hingga 7 Disember ini.

Tinjauan itu bagi mengumpulkan input dan maklum balas daripada orang ramai mengenai cadangan RUU berkenaan dalam usaha mengekang masalah lompat parti yang masih berlaku sehingga kini.

Wan Junaidi berkata draf RUU sudah disediakan tetapi masih ’embargo’ memandangkan masih terdapat banyak perkara dasar yang belum terjawab.

Cadangan undang-undang anti lompat parti adalah antara komitmen disuarakan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha menghentikan perbuatan wakil rakyat melompat parti.

Pada 1988, PBS yang ketika itu menerajui kerajaan negeri Sabah mengambil langkah berani meluluskan satu RUU pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti.

Bagaimanapun, undang-undang berkenaan tidak dapat dikuatkuasakan selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan RUU yang diluluskan itu sebagai tidak sah dan dibatalkan.

Joniston berkata, PBS menjadi mangsa lompat parti pada 1994 apabila kerajaan yang dibentuknya selepas memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada tahun berkenaan jatuh disebabkan tindakan tiga wakil rakyatnya melompat parti.

“Sebagai mangsa lompat parti pada 1994, PBS menghargai cadangan kerajaan untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen. Bagi PBS, langkah ini menunjukkan kerajaan sangat memgambil berat terhadap kehendak rakyat,” katanya.

PBS berjaya membentuk kerajaan negeri pada 1985 selepas mengalahkan kerajaan BERJAYA pada masa itu dan mengukuhkan kedudukan pada PRN 1986 yang diadakan berikutan pembubaran mengejut DUN selepas dua wakil rakyatnya belot.

Parti berkenaan seterusnya memenangi pilihan raya 1990 dan 1994, namun kemenangan pada 1994 hanya bertahan selama dua bulan apabila kerajaan pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika itu tumbang disebabkan tindakan tiga ADUN PBS melompat ke parti lain.

Joniston yang juga ADUN Kiulu berkata adalah tidak adil bagi seseorang ADUN atau Ahli Parlimen bertindak meninggalkan parti yang membolehkan mereka meraih kemenangan ketika pilihan raya.

“Rakyat yang memilih pemimpin ini untuk mewakili mereka dalam DUN dan Parlimen. Jika wakil rakyat terbabit dipilih atas platform parti, maka adalah adil untuk terus kekal setia kepada parti yang mereka wakili dan dipilih oleh rakyat,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|