JHEAINS rancang bina SMAN di Tawau dan Sandakan

JHEAINS rancang bina SMAN di Tawau dan Sandakan

Papar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) merancang akan membina dua lagi buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di Tawau dan Sandakan.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, perancangan itu mengambil kira keperluan untuk pelajar di dua daerah berkenaan melanjutkan persekolah di sekolah agama.

“Kita merancang, kalau boleh ada (SMAN) ada satu di Sandakan dan kalau boleh ada satu di Tawau lagi. Mudah-mudahanlah, ini perancangan kita.

“Sebab keperluan di Sandakan dan Tawau amat mendesak kerana pelajar-pelajar sana perlu sekolah menengah agama. Sebelum ini, pelajar ke Kota Kinabalu atau Kunak.

“Di Tawau ada juga satu Sekolah Islamiyyah Tawau sebelum ini di bawah JHEAINS tetapi kini sudah di bawah Kementerian Pendidikan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK),” katanya kepada media selepas melawat SMAN Papar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin turut memaklumkan bahawa sebanyak tiga bangunan sekolah agama di Beaufort, Keningau dan Tambunan dibina baharu.

“Untuk bangunan baharu bagi sekolah agama di Beaufort telah siap 100 peratus dan kita menunggu masa saja untuk berpindah. Sekolah ini dijadikan pusat untuk Sipitang, Kuala Penyu dan Membakut.

“Di Keningau pula, pembinaan sudah mula berjalan manakala di sekolah di Tambunan adalah bagi mengantikan sekolah lama dan berpindah ke tempat lain,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Arifin berkata, pembinaan bangunan baharu bagi sekolah agama berkenaan adalah bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada pelajar supaya tidak lagi perlu bersesak dalam bangunan sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|