Patuhi SOP, laksanakan kawalan kendiri elak jangkitan Covid-19 – Masidi

Patuhi SOP, laksanakan kawalan kendiri elak jangkitan Covid-19 – Masidi

Kota Kinabalu: Masyarakat di Sabah digesa supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan melaksanakan kawalan kendiri bagi mengelak jangkitan serta penularan Covid-19 berikutan keputusan kerajaan membenarkan rentas daerah di seluruh negeri mulai esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata langkah itu perlu diberi perhatian agar kebebasan yang diberikan kepada individu yang sudah lengkap vaksin itu tidak menjadi punca peningkatan jangkitan baharu Covid-19.

“Masyarakat perlu terus mematuhi SOP yang telah digariskan agar jangkitan baharu dapat dibendung sekalipun pelbagai sektor ekonomi dan kemudahan awam dibuka bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Dalam kenyataan terdahulu hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kebenaran rentas daerah di Sabah mulai esok dan rentas negeri bermula 1 November depan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk sudah lengkap vaksin.

Kebenaran itu dibuat selepas kerajaan negeri berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri Sabah oleh Jawatankuasa Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) yang kini mencatat 70 peratus.

Sejak 1 Oktober lalu, kerajaan negeri membenarkan rentas daerah tanpa perlu kebenaran polis dalam zon yang ditetapkan membabitkan lima zon berasingan di seluruh negeri.

Sementara itu, Masidi berkata daerah Kuala Penyu mencatat sifar kes Covid-19 dua hari berturut-turut sejak semalam dan satu-satunya daerah yang tidak mencatat sebarang kes baharu pada hari ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata tujuh daerah mencatat kes satu angka, manakala 19 daerah mencatat kes dua angka.

Katanya, daerah Kota Belud kekal mencatat kes tertinggi dengan sebanyak 75 kes pada hari ini berbanding 63 kes semalam, diikuti Kota Kinabalu dengan 74 kes berbanding 55 kes semalam.

“Secara keseluruhan, sekali lagi Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 44 kes menjadikan jumlah kes pada hari ini sebanyak 751 kes berbanding 707 kes semalam.

“Perbandingan antara jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan dan penurunan adalah seimbang hari ini dengan masing-masing 13 daerah mencatatkan peningkatan dan penurunan serta satu daerah iaitu Kuala Penyu mengekalkan catatan seperti semalam.

“Terdapat lapan daerah yang mencatatkan peningkatan kes yang agak tinggi iaitu Tenom (+32 kes), Sandakan (+28 kes), Kota Kinabalu (+19 kes), Tuaran (+15 kes), Kota Belud (+12 kes), Penampang (+12 kes), Beaufort (+10 kes) dan Tambunan (+10 kes).

“Antara daerah yang mencatatkan penurunan kes pula ialah Kudat (-27 kes), Putatan (-20 kes), Tawau (-17 kes), Kota Marudu (-10 kes) dan Pitas (-10 kes),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|