Nekad terjun laut

Nekad terjun laut

Semporna: Seorang penyeludup minyak masak nekad terjun ke laut untuk meloloskan diri selepas kegiatannya berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam rondaan di Pulau Bum Bum, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, seorang lelaki yang menaiki sebuah bot pam terserempak dengan pasukan operasi PPM.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus bertindak mengekori suspek yang menaiki bot pam berwarna hijau.

Bagaimanapun katanya, suspek yang menyedari kehadiran polis terus bertindak terjun daripada bot dan melarikan diri ke kawasan bakau pulau berhampiran.

“Pemeriksaan terhadap bot berjaya menemukan beberapa paket minyak masak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Filipina.

“Rampasan kemudiannya di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9,682.50 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|