Padah tidak jaga SOP, 14 individu dikenakan kompaun

Padah tidak jaga SOP, 14 individu dikenakan kompaun

Lahad Datu: Seramai 14 individu dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi pemantauan Pelan Pemulihan Negara Fasa 2, di Pantai Payang, di sini, semalam.

Semua kesalahan berkenaan dikesan membabitkan orang ramai yang mengadakan aktiviti berkelah sehingga menyukarkan penjarakan fizikal sosial.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, operasi dijalankan membabitkan dua pegawai dan 23 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Katanya, semua 14 kompaun yang dikeluarkan bernilai keseluruhan RM29,500 selaras denvan perlanggaran SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Antara yang dikenakan kompaun adalah pemilik
premis dan pengunjung pantai berusia lingkungan 18 hingga 26 tahun membabitkan 12 lelaki serta dua wanita.

“Semua 14 pengunjung turut diarahkan menjalani ujian saringan air kencing oleh bahagian siasatan jenayah narkotik, IPD Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Rohan berkata, IPD Lahad Datu turut menyarankan Pejabat Kesihatan Lahad Datu supaya mengambil tindakan menutup premis berkenaan selaras dengan Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MSN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|