Keputusan rentas negeri di Sabah Rabu ini

Keputusan rentas negeri di Sabah Rabu ini

Kota Kinabalu: Jemaah Kabinet negeri Sabah akan membuat keputusan pada Rabu ini sama ada pergerakan rentas negeri yang dibenarkan kerajaan Pusat mulai esok turut dikuatkuasakan di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Negeri Sabah akan mengemukakan cadangan berkaitan perkara itu untuk dibincang jemaah menteri negeri pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

“Kita ambil kira peratusan penduduk dewasa di Sabah yang sudah memperolehi vaksin lengkap belum sampai kepada 90 peratus iaitu hanya sekitar 65 peratus pada hari ini.

“Ia adalah prasyarat yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan untuk membolehkan rentas negeri tanpa perlu permit polis dibenarkan,” katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kebenaran rentas negeri mulai esok.

Masidi berkata, Sabah ketika ini masih berada dalam kawalan pergerakan perjalanan mengikut zon atau sistem zon dan kawalan rentas daerah bagi daerah yang tidak dimasukkan dalam sistem kawalan pergerakan mengikut zon.

Dalam sidang media petang ini, Ismail Sabri mengumumkan orang ramai yang sudah lengkap vaksin dibenarkan merentas negeri tanpa perlu mendapatkan permit polis bermula esok.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata orang ramai digalakkan membuat ujian kendiri Covid-19 sebelum merentas negeri untuk balik kampung berjumpa ibu bapa atau keluarga sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|