Jangan tanam titik persengketaan berterusan – Johari Saiman

Jangan tanam titik persengketaan berterusan – Johari Saiman

Kota Kinabalu: Pemimpin UMNO Tuaran diingatkan supaya tidak menanam titik persengketaan berterusan dengan membuat dakwaan tidak berasas terhadap parti rakan.

Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Johari Saiman, berkata sebarang provokasi yang tidak berasas perlu dihentikan.

Beliau berkata, rakyat sebenarnya lebih bijak menilai yang mana satu adalah permata dan yang mana satu adalah kaca.

Jelasnya, peluang dan ruang yang besar juga sudah diberikan untuk seseorang pemimpin itu membuktikan keupayaan diri di mata rakyat.

“Pemimpin yang baik bukan kerana apa yang ditulisnya di atas kertas atau apa yang diucapkannya tetapi pemimpin yang baik pada mata rakyat ialah pemimpin yang senang ditemui, pemimpin yang boleh membantu dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Rakyat inginkan pembelaan, inginkan kemakmuran, keamanan dan masa depan yang lebih terjamin dari semua aspek kehidupan.

“Rakyat perlu diberikan fakta yang betul, bukan cerita dongeng, semata-mata untuk meraih kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dengan merujuk kepada kenyataan Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di laman Facebook beliau baru-baru ini, Johari menyifatkan apa yang dikatakan pemimpin berkenaan sedikit menggelikan hati.

Katanya, kenyataan Abdul Rahman bahawa ramai kembali ke pangkuan UMNO dengan sendirinya mengesahkan bahawa memang betul orang UMNO meninggalkan parti itu dan menyertai parti lain.

“Beliau (Abdul Rahman) juga menyebut,
nama mereka telah diambil sebagai ahli oleh parti lain tanpa kesedaran mereka melalui penyalahgunaan butiran peribadi tanpa kerelaan.

“Apa maksud pemimpin UMNO ini? Tidak rela bererti tidak setuju. Tidak tahu bererti samalah tidak pernah memohon menjadi ahli mana-mana parti politik.

“Maksud tidak rela dan tidak tahu di sini menunjukkan orang-orang ini adalah orang-orang UMNO yang sedia ada atau orang-orang tidak wujud.

“Kalau begitu keadaannya, dimana nilai ucapan ‘selamat kembali ke pangkuan UMNO’ Rahman Dahlan ini?,” soalnya.

Sebagai rekod, Johari berkata ahli parti lain yang ingin memohon menjadi ahli BERSATU wajib menandatangani surat peletakan jawatan daripada mana-mana keanggotaan parti lain terlebih dahulu.

Selepas itu, katanya pemohon wajib mengisi dengan lengkap dan menandatangani borang permohonan asal ahli BERSATU dan wajib dilampirkan dengan salinan kad pengenalan.

“Saya berharap, kenyataan Abdul Rahman Dahlan tidak merujuk kepada parti BERSATU,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Johari berkata keanggotaan parti yang ramai dan menjadi kebanggaan pemimpinnya tidak menjamin kekuatan sesebuah parti.

“Beliau (Abdul Rahman) juga memberitahu umum, bahawa UMNO Tuaran sebuah parti yang banyak pengalaman dan ramai pemimpin akar umbi yang tidak pernah goyah dan goyang walaupun ditekan dari pelbagai sudut.

“Apa yang dibanggakan dengan jumlah ahli (pemimpin akar umbi) yang ramai. Ramai tetapi tidak dijaga dan terbiar, pun tiada guna.

“Sepatutnya kalau ramai tidak pandai kalah setiap kali masuk gelangang. Tapi apa yang terjadi kepada BN/UMNO secara keseluruhannya pada 9hb Mei 2018 yang lalu?,” soal Johari lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|