Kota Kinabalu: Seorang lelaki dan anaknya terselamat dengan terjun ke laut menyelamatkan diri selepas bot dinaiki terbakar dalam kejadian di Teluk Likas, berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 14 dan 40-an terbabit dikatakan keluar memancing di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, bot dinaiki yang menggunakan enjin tiba-tiba terbakar sehingga memaksa kedua-dua mereka terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 13 anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati, kedua-dua mangsa sudah berada berhampiran tebing dan operasi mengangkat mangsa keluar dari laut segera dijalankan.
“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala bot yang dinaiki pula karam selepas terbakar sepenuhnya kira-kira 200 meter dari tebing laut” katanya kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada operasi pemadaman dilakukan dan operasi tamat pada jam 10.38 pagi.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Alip, 30-an berkata, ketika kejadian dia sedang memancing di kawasan berhampiran.
Katanya, bot dinaiki kedua-dua mangsa tiba-tiba terbakar sehingga memaksa mereka terjun menyelamatkan diri.
“Saya melihat lelaki terbabit terus terjun membawa anaknya untuk menjauhi bot mereka yang sedang terbakar.
“Mereka kemudiannya dilihat terus berenang ke tebing laut sebelum diselamat pasukan bomba yang hadir ke lokasi kejadian,” katanya.
-Deasoka