‘Outreach’ Santuni Wanita diperluas ke 73 DUN

‘Outreach’ Santuni Wanita diperluas ke 73 DUN

Putatan: Program jangkauan luar atau ‘Outreach’ Santuni Wanita bagi mendekati dan membantu golongan wanita di negeri ini akan diperluaskan ke semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pendekatan itu sejajar dengan usaha kementeriannya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam menjaga kebajikan golongan wanita di negeri ini.

Beliau berkata, kaedah jangkauan luar adalah pendekatan terbaik bagi membolehkan lebih ramai wanita, khususnya golongan B40 dan M40 mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan JHEWA.

“Outreach Santuni Wanita adalah program turun padang yang bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu merakyatkan perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat dan bagi program ini golongan sasarnya adalah wanita.

“Antara tugas JHEWA adalah menyediakan khidmat guaman untuk wanita khususnya bagi mereka yang berada dalam golongan sasar B40 dan M40 yang tidak mampu untuk melantik peguam swasta jika berdepan kes berkaitan hal wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Outreach’ Santuni Wanita ‘Merakyatkan Perkhidmatan Ke Arah Kesejahteraan Wanita’ anjuran JHEWA dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat di Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah JHEWA, Haslina Ismail; Ketua Daerah Putatan, Datuk OKK Dahali Matsin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N24 Tanjung Keramat, Sufian Matin.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berharap melalui program itu orang ramai mendapat pemahaman yang jelas mengenai perkhidmatan yang disediakan JHEWA.

“Panel peguam kita akan menerangkan apa dia kumpulan sasar yang dapat menerima khidmat daripada program JHEWA dan apa intipati yang dapat diberi oleh perkhidmatan guaman kepada wanita yang termasuk dalam golongan sasar.

“Saya berharap mereka yang hadir ke program ini mendapat pemahaman yang jelas dan boleh berkongsi dengan rakan-rakan ataupun ahli keluarga yang memerlukan perkhidmatan sedemikian,” katanya.

Antara pengisian program itu ialah penerangan fungsi pusat bantuan guaman wanita meliputi perkhidmatan nasihat guaman, bantuan guaman, hak-hak wanita di bawah undang-undang keluarga, undang-undang perkahwinan bawah umur dan program kesedaran sosial serta motivasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|