Sabah, Sarawak dijangka terima tawaran lebih baik

Sabah, Sarawak dijangka terima tawaran lebih baik

Kota Kinabalu: Sabah dan Sarawak dijangka menerima tawaran lebih baik berkaitan tuntutan Geran Khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perkara itu sedang dibincangkan dengan kerajaan melalui Jawatankuasa Konsultasi Bersama (JCC) mengenai tuntutan Geran Khas.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

Katanya, semakan terhadap kewangan dan geran tahunan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta pemulangan 40 peratus pendapatan dan has dikutip dari Sabah sudah diselesaikan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, namun kerajaan negeri semasa menolak tawaran berkenaan.

“Kerajaan negeri yang memerintah ketika ini menolak tawaran berkenaan memandangkan formula PH tidak menjelaskan bagaimana mereka mereka mendapatkan jumlah itu.

“Sarawak juga menolak formula PH atas alasan yang sama. Kedua-dua negeri mahu tahu bagaimana formula itu diperolehi dan sama ada ia mencerminkan jumlah yang betul terhadap apa yang sepatutnya dibayar kepada kedua-dua negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan Sabah dan Sarawak mahukan formula yang telus, selari dengan apa yang sewajarnya dibayar mengikut Perlembagaan Persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|