Lahad Datu: Seorang pemandu lori 10 tan parah selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Silam, Lembah Danum, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu sehingga terpaksa dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.25 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa masih tersepit di dalam kabin pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.
“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 3.18 petang,” katanya.
-Deasoka