Optimis PICK terus berjalan lancar: Hajiji

Optimis PICK terus berjalan lancar: Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor optimis pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus berjalan lancar di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya gembira atas pelaksanaan yang kini giat dijalankan pihak berwajib termasuklah di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

“Berdasarkan taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Datuk Dr
Christina Rundi), saya melihat PICK berjalan lancar, termasuk program bergerak kerajaan (mobile outreach) yang turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah dan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF).

“Saya berharap proses vaksinasi di Sabah akan berjalan dengan lebih lancar lagi termasuk di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan JKM Sabah, hari ini.

Hajiji (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penerima dalam majlis itu. (Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

Beliau berkata demikian bersempena majlis penyerahan Bantuan Sabah Prihatin 3.0 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Dewan Masyarakat Manggatal, Manggatal, hari ini.

Terdahulu dalam majlis itu, Ketua Menteri turut berkesempatan melakukan pelepasan kenderaan pacuan empat roda – Mobile Covid Vaccination ke Nabawan, yang membawa vaksin untuk dos kedua ke daerah berkenaan.

Pada majlis itu, beliau juga menyampaikan bantuan tunai one-off RM300 untuk Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 DBKK kepada penjaja kecil dan bantuan pembayaran pengurusan PPRT kepada DBKK.

Hajiji (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penerima dalam majlis itu. (Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

Hadir sama dalam majlis itu adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip.

DBKK telah menerima peruntukan sebanyak RM2,693,716 untuk diagihkan kepada penjaja membabitkan RM1,270,200 bantuan sewa Projek Perumahan
Rakyat Termiskin atau PPRT (RM245,016) dan bakul makanan (RM1,178,500), bagi bantuan BSP 3.0 DBKK.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|