SOP Sabah, keputusan Hajiji tepat: Raimie

SOP Sabah, keputusan Hajiji tepat: Raimie

Kota Kinabalu: Keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk melonggarkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dilihat tepat dalam mengambil kira senario semasa di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Raime Unggi (gambar) berkata, pengumumuan Ketua Menteri itu dilihat sudah tentu mengambil kira dan pertimbangan dalam pelbagai faktor dan aspek di Sabah.

“Saya menyambut baik keputusan Ketua Menteri untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1 dimana beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi dalam pelaksanaan PPN Fasa 1 Sabah.

“ Ini lebih-lebih lagi kita sudah melaksanakan perintah pergerakan ini sudah terlalu lama dan pastinya turut memberikan kesan kepada mental dan ekonomi yang negatif kepada rakyat Sabah.

“Kes jangkitan Covid-19 harian bagi negeri Sabah juga berada di bawah angka yang rendah dan proses untuk memberikan vaksin kepada penduduk juga sedang dipergiatkan sekarang, “katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah itu berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Terdahulu, isu kelonggaran SOP di negeri Sabah seperti mana diumumkan oleh Hajiji pada Isnin lalu mencetuskan kontroversi ramai pihak terutama melibatkan isu dine-in di restoran dan kedai makan.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan malam tadi bagaimanapun berkata, keperincian Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri ini akan dimaklumkan sepenuhnya oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, SOP baharu untuk negeri ini sudah dikemukakan dan masih menunggu perwartaan berkenaan daripada Kerajaan Pusat.

Sementara itu, Raimie dalam kenyataan media yang sama turut meminta Kerajaan Pusat untuk menghormati dan memberikan kerjasamasa kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Walau bagaimanapun keputusan itu perlu disokong dengan tanggungjawab.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama iaitu memastikan segala perintah SOP yang lain dituruti dengan semaksimum mungkin.

“Jangan pula kita alpa dengan kebenaran yang dibuat, yang akhirnya menyebabkan kes meningkat semula di negeri kita dan kita dikenakan perintah pergerakan penuh atau total lockdown sekali lagi, “katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan untuk menekankan aspek pengutkuasaan di sempadan serta kemasukan pengembara luar ke Sabah.

“ Saya juga menyeru agar pintu sempadan, kemasukan pengembara luar ke negeri ini turut diberikan perhatian serius terutama yang membabitkan kemasukan pengembara dari kawasan yang berisiko tinggi kerana kita perlu mengawal kemasukan mereka juga.

“Jadi saya tekankan sekali lagi, saya menyokong pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Sabah serta turut menyeru kerjasama rakyat untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta daftarlah segera untuk mendapatkan vaksin,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|