Polis siasat lelaki didakwa belasah tunang, melarikan wang RM10,000

Polis siasat lelaki didakwa belasah tunang, melarikan wang RM10,000

Kota Marudu: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kenyataan yang tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki melarikan kenderaan milik kakak mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada mangsa wanita berusia 24 tahun, suspek yang juga tunangnya turut melarikan wang tunai milik syarikat mangsa bernilai RM10,000.

Katanya, siasatan awal, suspek berusia 28 tahun dikatakan sepatutnya memasukkan wang berkenaan ke dalam akaunnya untuk dipindahkan ke akaun syarikat tempat mangsa bekerja.

Posting tular yang dikongsikan oleh pengguna Facebook berhubung insiden berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika diminta resit kemasukan wang, suspek difahamkan memberi pelbagai alasan dan mendakwa hanya boleh membuat pemindahan dalam tempoh 24 jam.

“Disebabkan itu, berlaku pergaduhan antara mangsa dan tunangnya sehingga wanita itu dipukul oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Izaan berkata, suspek dikatakan terus memecut kereta yang dinaiki mereka ke arah Pitas, sebelum mangsa terjun ke luar kenderaan untuk menyelamatkan diri.

Katanya, suspek terus menghilangkan diri dan sehingga kini usaha mengesan suspek masih giat dijalankan.

“Selain itu wang yang hilang juga hanya sebanyak RM10,000 dan bukannya RM18,000 seperti yang didakwa di laman sosial facebook.

“Setakat ini, sasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan yang tular di laman sosial sejak pagi tadi, mendakwa seorang lelaki bertindak melarikan wang tunai sebanyak RM18,000 dan sebuah kenderaan Proton Iswara.

Kenyataan itu mendakwa, lelaki terbabit turut mengikat dan membelasah tunangnya sebelum menghilangkan diri.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|