Operasi mencari seorang lagi mangsa disambar petir dihentikan

Operasi mencari seorang lagi mangsa disambar petir dihentikan

Kota Kinabalu: Operasi Carilamat nelayan yang hilang selepas dipercayai disambar petir sejak tiga hari lalu, di perairan Pulau Dinawan, Kinarut, di sini, dihentikan serta merta.

Operasi mencari mangsa ditamatkan pada jam 6.30 petang tadi, berikutan tiada sebarang petunjuk positif dikesan berkaitan mangsa.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi dihentikan selepas tiga hari pencarian.

Katanya, operasi pencarian dijalankan merangkumi keluasan 118 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Dinawan.

“Operasi diaktif selama tiga hari dengan melibatkan aset-aset daripada agensi sahabat yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sektor pencarian hari ini diperluaskan hingga 118 batu nautika persegi, dengan membabitkan sebuah helikopter, enam bot dan sebuah jet ski,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun Mohd Rosli berkata, aset-aset Maritim Malaysia yang dalam rondaan rutin akan meneruskan pengesanan dan pemantauan di kawasan pencarian mangsa.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi yang terbabit dalam Operasi Carilamat mangsa selama tiga hari ini.

Katanya, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan dan memastikan keadaan bot dalam keadaan baik.

“Selain itu, komuniti maritim juga digalakkan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat lokasi dilaut.

“Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku dipersekitaran perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi MN Sabah 088-387774 atau 999 (MERS),” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa Mohd Nasir Abdul Nasir, 62, dan anaknya Abdullah Mohd Nasir, 20, dipercayai disambar petir ketika memancing di perairan berkenaan.

Mayat pertama, Abdullah Mohd Nasir, 20, ditemui terapung oleh nelayan tempatan pada jam 4 petang.

Operasi mencari mangsa Mohd Nasir segera dijalankan selepas itu namun sehingga kini masih gagal dikesan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|