Covid-19 Sabah: 2,738 kes, tertinggi sejak lebih setahun pandemik

Covid-19 Sabah: 2,738 kes, tertinggi sejak lebih setahun pandemik

Kota Kinabalu: Sabah terus mencatat peningkatan angka jangkitan harian Covid-19 dengan sebanyak 2,738 kes hari ini, yang tertinggi pernah direkodkan sejak lebih setahun pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah kes hari ini menunjukkan peningkatan 155 kes berbanding 2,583 kes yang dilaporkan semalam.

Katanya, Kota Kinabalu kekal sebagai daerah paling tinggi kes Covid-19 dengan sebanyak 454 kes hari ini, turun sedikit berbanding 475 kes semalam.

“Kes di Penampang pula naik 26 kepada 328 kes, Sandakan mencatat peningkatan 66 kes kepada 236, manakala di Tuaran bertambah 72 kes kepada 235 kes hari ini.

“Tawau turun sedikit kepada 225 tetapi Sipitang naik 45 kepada 181 kes. Daerah lain yang mencatat tiga angka ialah Papar (138) dan Putatan (104). Ranau menambah 75 kes kepada 94 kes, Lahad Datu 94 kes (turun 27), Keningau 83 kes (turun 42), Kinabatangan 74 kes (naik 34) dan Tongod naik 33 kes kepada 58 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi turut menjelaskan bahawa jumlah kes yang diumum setiap hari tidak semestinya didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebaliknya 247 kes (9.02 peratus) hari ini adalah kes didaftar lewat lebih lima hari, 223 kes lewat empat hingga lima hari dan 1,012 kes (37 peratus) didaftar selepas dua hingga tiga hari keputusan saringan diketahui.

Jelasnya, pendaftaran lewat berlaku disebabkan pengumpulan dan penyemakan data secara teliti serta membabitkan jumlah yang banyak, selain datang daripada pelbagai daerah di seluruh negeri.

Sementara itu, katanya saringan kontak rapat sebanyak 1,616 kes (59 peratus) adalah penyumbang terbesar kepada kes baharu hari ini, diikuti saringan bergejala sebanyak 654 kes (23.9 peratus) dan saringan kluster sebanyak 172 kes atau 6.3 peratus.

“Pesakit dalam kategori dua kekal sebagai kumpulan terbanyak iaitu 1,601 orang (58.5 peratus), diikuti kategori satu seramai 1,073 orang (39.2 peratus), manakala 10 orang dalam kategori tiga dan masing-masing empat orang dalam kategori empat dan lima,” katanya.

Katanya, satu kluster baharu dinamakan Kluster Sawit Sukau yang membabitkan jangkitan di Kinabatangan dan Lahad Datu turut dilaporkan hari ini dengan kumulatif setakat ini sebanyak 30 kes, termasuk 29 kes baharu hari ini.

Mengenai perkembangan program vaksinasi, Masidi berkata setakat semalam, 50.3 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah memperolehi satu dos vaksin, manakala 26.9 peratus lagi sudaj melengkapkan dua dos vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|