Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan yang paling tepat untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata Ismail Sabri sudah membuktikan kemampuan kepemimpinannya selama 17 bulan memegang portfolio Menteri Kanan dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Dalam tempoh 17 bulan lalu, beliau berpeluang menunjukkan contoh kepemimpinannya sebagai Menteri Kanan Keselamatan dan Timbalan Perdana Menteri serta memainkan peranan dalam mengurus usaha memerangi pandemik Covid-19.
“Kita yakin Ismail Sabri dapat melakukan yang terbaik selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri. PBS melihat ke hadapan untuk bekerjasama dengan beliau khususnya berkaitan keperluan pembangunan dan keselamatan Sabah serta menyelesaikan perkara tertunggak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu menambah, Ismail Sabri juga sering menyuarakan mengenai keperluan untuk mematuhi MA63 selain sentiasa menyokong keperluan prmbangunan dan permintaan Sabah dan Sarawak.
Katanya, sebagai Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri akan mengambil alih tugas mempengerusikan Majlis Khas MA63.
“Namun, sudah tentu tugas segera Perdana Menteri dan kerajaan baharu ketika ini adalah untuk memenangi perang terhadap virus Covid-19 dan melaksanakan pemulihan negara.
“Kami dalam PBS percaya Perdana Menteri baharu ini sudah bersedia berdepan tugas yang menanti di hadapan,” katanya.
Dalam nada yang sama, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, pihaknya gembira menjadi sebahagian daripada peralihan bersejarah yang berlaku dalam negara.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut menyatakan keyakinannya terhadap Ismail Sabri untuk meneruskan kepemimpinan terbaik yang ditinggalkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tidak timbul soal pentadbiran kerajaan persekutuan akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk mengembalikan hak Sabah dan rakyatnya kerana isu ini sangat penting kepada kita.
“Selepas beberapa minggu ketidaktentuan politik, saya berharap persoalan siapa memiliki majoriti dapat dihentikan supaya semua parti politik akhirnya dapat bekerja bersama meneruskan usaha memerangi Covid-19,” katanya.
-Deasoka