Naik taraf Jalan Bulatan Berungis – Bulatan Mengkabong dimasukkan semula dalam RP2 RMK-12 – Arthur

Naik taraf Jalan Bulatan Berungis – Bulatan Mengkabong dimasukkan semula dalam RP2 RMK-12 – Arthur

Kota Kinabalu: Projek naik taraf Jalan Bulatan Berungis – Bulatan Mengkabong – Pekan Tuaran akan dimasukkan semula dalam Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup, berkata kelulusan agensi Pusat dijangka diketahui selepas pembentangan Belanjawan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, sebelum ini projek itu yang sudah diluluskan dalam Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tidak dapat diteruskan kerana membabitkan kerja naik taraf jalan negeri iaitu Jalan Lama Tuaran.

“Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) meminta kementerian meneliti semula projek ini kerana peruntukan persekutuan hanya boleh digunakan untuk pelaksanaan naik taraf jalan persekutuan sahaja.

“Lanjutan daripada itu, kementerian ini mengemukakan permohonan rayuan kepada UPE, JPM untuk mewujudkan semula butiran projek ini di bawah RMKe-11 dengan mengeluarkan skop jalan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau mengenai status projek berkenaan di Dewan Rakyat, semalam.

Bagaimanapun, Arthur berkata UPE JPM dalam jawapan balasnya tidak meluluskan permohonan rayuan itu, sebaliknya mencadangkan supaya projek berkenaan dipohon semula dalam RP2 RMK-12 tahun depan.

“Sehubungan itu, kementerian ini mengangkat semula permohonan projek itu untuk kelulusan agensi Pusat bagi RP2, RMK12 dengan mengeluarkan skop naik taraf jalan negeri.

“Kelulusan bagi cadangan projek ini adalah tertakluk kepada pertimbangan agensi Pusat yang dijangka diketahui selepas pembentangan bajet oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Terdahulu, Madius membangkitkan dan meminta penjelasan mengenai pelaksanaan projek naik taraf jalan raya berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam RMK-11.

Katanya, beliau sudah beberapa kali bertanya mengenai pelaksanaan projek itu dengan kali terakhir dimaklumkan bahawa ia akan dilaksanakan sejurus agensi Pusat meluluskan peruntukan RM45 juta daripada RM100 juta siling kosnya.

“Namun sehingga pada hari ini tanda-tanda pelaksanaan projek ini belum ada. Sebagai peringatan, cadangan projek ini dipohon untuk kelulusan agensi Pusat dalam Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada 2015.

“Skop projek ini membabitkan naik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada laluan empat lorong dua hala sepanjang 3.7 kilometer mengikut reka bentuk piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Jelasnya, projek naik taraf jalan raya itu penting bagi mengatasi masalah kesesakan semakin teruk yang dihadapi pengguna jalan raya ketika melalui laluan berkenaan dengan anggaran trafik sekurang-kurangnya 18,000 kenderaan dalam tempoh 16 jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|