Tenom: Misteri kehilangan seorang lelaki warga China sejak 1 Oktober lalu di pusat pembinaan Empangan Mini Hydro Telekosang, di sini, terjawab apabila ditemui tergantung dipercayai membunuh diri, hari ini.
Mangsa Yang Ming Zhong, 37, adalah seorang pekerja mahir dalam membuat pengerudian terowong ditemui dalam keadaan reput dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, mangsa ditemui pada jam 10.30 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi sejak laporan mangsa hilang diterima.
Katanya, ketika ditemui, mangsa yang memakai baju T berwarna merah dan berseluar pendek tergantung dengan tali di sebatang pokok di kawasan berkenaan.
“Sebelum dilaporkan hilang, mangsa dikatakan memberitahu rakan sebiliknya bahawa dia ingin keluar mencari kawasan yang mempunyai talian telefon.
“Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga keesokkan harinnya dan rakan mangsa terus memaklumkan kepada pihak pengurusan sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hasan berkata, berdasarkan laporan yang diterima, polis terus melancarkan operasi SAR seramai 54 orang membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Pangkalan Sabah.
Selain itu katanya, operasi turut dibantu unit anjing pengesan K9 Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tenom untuk proses bedah siasat dan operasi SAR ditamatkan serta merta.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
-Deasoka