Murid prasekolah, tadika dibenar hadir ke sekolah

Murid prasekolah, tadika dibenar hadir ke sekolah

Kota Kinabalu: Sabah membenarkan murid prasekolah dan tadika hadir ke sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran sejajar perubahan status Pelan Pemulihan Negara (PPN) dari Fasa 2 ke Fasa 3 bermula semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata pengoperasian sekolah tertakluk kepada arahan semasa Kementerian Pendidikan.

“Kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, kelas seni, kelas mengaji berbayar, kelas bahasa berbayar dan sebagainya turut dibenarkan beroperasi secara bersemuka tetapi dengan penggiliran serta 50 peratus kapasiti kelas,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkaitan perubahan status PPN di Sabah dan beberapa negeri bagaimanapun menetapkan pembukaan sekolah di negeri ini hanya bermula pada 1 November depan.

Selain murid prasekolah, turut mula hadir ke sekolah dalam Fasa 3 PPN ialah murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasioanal dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan negeri membenarkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun menggunakan fasiliti sukan dengan ditemani ibu bapa yang sudah lengkap vaksin.

Katanya, bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, mereka juga dibenarkan menggunakan fasiliti sukan.

“Penganjuran kejohanan, pertandingan, acara sukan massa juga dibenarkan dengan kebenaran Kementerian Belia dan Sukan, namun terhad dengan penyertaan tidak melebihi 250 orang dan sudah lengkap divaksin. Tempoh masa aktiviti dilakukan bermula 6 pagi hingga 8 malam,” katanya.

Bagi sektor pelancongan Masidi berkata semua aktiviti termasuk penggunaan kemudahan penginapan seperti sauna dan jakuzi adalah dibenarkan dalam Fasa 3 PPN dengan kapasiti 50 peratus ruang.

Turut dibenarkan beroperasi katanya ialah Taman Tema, Pusat Hiburan Keluarga, ‘indoor playground’, karaoke keluarga dan permainan mesin kanak-kanak, namun dengan syarat semua pengusaha atau operator dan pengunjung sudah lengkap divaksin.

“Bagi industri kreatif, aktiviti penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dibenarkan dengan kehadiran penonton.

“Pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni secara temujanji juga dibenarkan dengan pekerja dan pengunjung sudah lengkap divaksin dan kapasiti terhad 50 peratus ruang premis,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata aktiviti panggung wayang juga dibenarkan dengan syarat pekerja dan penonton sudah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera dengan kapasiti 70 peratus dewan tayangan pawagam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|