SMK Rancha-Rancha johan Pertandingan Perpustakaan Sekolah Menengah Labuan

SMK Rancha-Rancha johan Pertandingan Perpustakaan Sekolah Menengah Labuan

Labuan: Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha, di sini mengungguli Pertandingan Perpustakaan Sekolah Menengah anjuran DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dengan membawakan tema Pusat Sumber Hab Transformasi Minda, pada tahun ini SMK Rancha-Rancha membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan buku bernilai RM250.

Tempat kedua dimenangi Pusat Sumber SM ST Anne dan ketiga Pusat Sumber Kolej Vokasional Labuan dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM800 dan buku bernilai RM200 serta RM500 dan buku bernilai RM150.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Wan Azman Wan Awang yang menzahirkan kesyukuran atas kemenangan itu berkata pusat sumber sekolah berkenaan tetap beroperasi walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 dengan menyediakan perkhidmatan secara dalam talian.

“Pihak sekolah berbangga dengan pencapaian ini atas komitmen tinggi guru perpustakaan dan media SMK Rancha-Rancha, cikgu Sapri Idris serta semua guru dan warga sekolah yang membolehkan perpustakaan sekolah ini menjadi juara ” katanya.

Sementara itu, Sapri berkata tanpa kerjasama yang padu di antara pentadbir, guru-guru dan pelajar SMK Rancha-Rancha kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai.

Beliau turut berharap agar Pusat Sumber SMK Rancha-Rancha akan menjadi salah satu ikon Pusat Sumber di seluruh Malaysia suatu hari nanti.

Pertandingan itu adalah antara pengisian Dekad Membaca Kebangsaan yang bermula pada 2021 hingga 2030 merangkumi enam program utama, iaitu kepelbagaian program membaca, pembangunan prasarana dan aktiviti membaca, pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, capaian buku digital atau e-Buku serta pendidikan sepanjang hayat.

Pertandingan terbuka kepada semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan, termasuklah sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah antarabangsa.

Penilaian oleh hakim yang dilantik oleh DBP akan dilaksanakan secara maya dengan menilai rakaman video perpustakaan yang dihantar oleh sekolah yang menghantar penyertaan.

Antara objektif DBP menganjurkan pertandingan itu adalah untuk menyemarakkan sambutan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di samping untuk menilai tahap ketrampilan dari segi peragaan, penyimpanan dan penyusunan bahan bacaan serta rujukan di perpustakaan sekolah di Labuan bagi menarik minat golongan pembaca dan pengguna perpustakaan.

Selain itu, ia juga menilai bahan bacaan berkualiti disajikan kepada pembaca dan pengguna perpustakaan sekolah dengan sekurang-kurangnya 30 peratus katalog perpustakaan terdiri daripada bahan bacaan terbitan DBP.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|