Muhyiddin Yassin masih PM, tunggu sidang Parlimen pada September tentukan kedudukan

Muhyiddin Yassin masih PM, tunggu sidang Parlimen pada September tentukan kedudukan

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan ditentukan melalui satu usul yang akan dibawa pada persidangan Parlimen, bulan depan.

Beliau berkata, ia adalah kaedah terbaik untuk menentukan kedudukannya mengikut lunas perlembagaan bagi menamatkan pertikaian mengenai sama ada beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai sokongan.

Jelasnya, perkara itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, ketika dikemukakan pada sesi menghadap di Istana Negara pagi tadi.

“Saya dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi tadi dan menyembahkan surat akuan bahawa saya masih ada sokongan majoriti. Jadi tidak berbangkit soal peletakan jawatan saya.

“Namun, saya sedar kedudukan saya masih dipertikaikan. Atas sebab itu saya maklumkan kepada Agong akan menentukan kedudukan saya di Parlimen menerusi satu usul yang akan dibentangkan pada September nanti.

“Ia akan dapat menentukan kedudukan saya mengikut lunas perlembagaan dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan ini,” katanya pada perutusan khas beliau sebentar tadi.

Sehubungan itu, katanya kerajaan PN masih terus berfungsi khususnya dalam menangani Covid-19 dan memastikan proses vaksinasi tidak terganggu, manakala bantuan kepada rakyat akan terus disalurkan.

Katanya, sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi ada hubung kait dengan sokongan surat lapan Ahli Parlimen UMNO kepada Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan menarik balik sokongan kepada beliau.

Perkara itu katanya dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada beliau melalui satu warkah yang turut menyatakan rujukan perlembagaan berkaitan kedudukan Perdana Menteri.

Muhyiddin mendakwa, pihak yang mencetuskan krisis politik ketika ini tidak senang dengan ketegasannya enggan menuruti tuntutan mereka termasuk berkaitan kes mahkamah selain menuduhnya menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|