Suami isteri didenda RM48,000, guna dokumen palsu

Suami isteri didenda RM48,000, guna dokumen palsu

Kota Kinabalu: Pasangan suami isteri mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender kerja-kerja membekal makanan asrama di sebuah sekolah di sini.

Tertuduh Junaidah Majin, 44 dan Muhammad Ashpawi Mohd Yahya, 51, kemudiannya dijatuhi denda RM48,000 oleh Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 24 November 2016, pasangan terbabit menggunakan penyata akaun bank palsu atas nama sebuah syarikat bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016.

Dokumen itu digunakan bagi tujuan mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan membekal makanan bermasak di sebuah sekolah di Kota Belud untuk tempoh 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465
kanun yang sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam dari JPKERUAK Advocates & Associates dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|