MET Malaysia nafi keluarkan amaran taufan, tsunami

MET Malaysia nafi keluarkan amaran taufan, tsunami

Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) menafikan maklumat yang tular di media sosial berhubung ramalan taufan dan tsunami berkelajuan 150 hingga 200 kilometer sejam yang didakwa sedang menuju ke arah Borneo.

Dalam satu kenyataan hari ini, MET Malaysia mengklasifikasikan maklumat berhubung perkara itu sebagai maklumat palsu.

Kenyataan MET Malaysia

“MET Malaysia juga mengesan penyalahgunaan gambar satelit dan logo MET Malaysia bagi menyokong kenyataan yang tidak benar dan boleh menimbulkan panik di kalangan orang awam.

“MET Malaysia ingin menegaskan bahawa penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, MET Malaysia mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih berkaitan ramalan dan amaran cuaca serta maklumat gempa bumi atau amaran tsunami melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MET Malaysia.

Kata kenyataan itu lagi, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 dan menggunakan aplikasi myCuaca.

“MET Malaysia menyarankan agar semua pihak menghentikan penyebaran maklumat palsu seperti di atas,” tegas kenyataan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|