Semporna: Seorang kanak-kanak perempuan terperangkap hampir sejam dalam bilik sebuah penginapan di sini, hari ini selepas pintu bilik berkenaan terkunci dan gagal dibuka.
Bagaimanapun kanak-kanak berusia dua tahun terbabit berjaya diselamatkan hasil bantuan anggota bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamata Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga kanak-kanak itu mengenai kejadian terbabit pada 6 petang.
Katanya, khidmat khas menyelamatkan mangsa terperangkap itu dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati seorang kanak-kanak perempuan terperangkap dalam bilik penginapan berkenaan.
“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas sebelum berjaya mengeluarkan kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan kanak-kanak terbabit dengan selamat.
“Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lagi dan operasi ditamatkan jam 6.22 petang,” katanya.
-Deasoka