Meningkatkan kesihatan mental di era pandemik Covid-19

Meningkatkan kesihatan mental di era pandemik Covid-19

Tawau: Ramai dalam kalangan ahli masyarakat memerlukan bantuan psikologi dalam era penularan pandemik Covid-19 yang kian mencabar dari semasa ke semasa.

Ini berikutan masyarakat umum pastinya belum bersedia dengan kawalan pergerakan yang kini memakan masa yang begitu lama dan tekanan itu secara langsung menjejaskan kesihatan mental.

Pensyarah Kanan Psikologi Kaunseling di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Dr Mohd Hanip Hassan berkata, hal itu amat jelas dengan merujuk kepada statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, berhubung kes bunuh diri yang meningkat sejak Mei 2019 iaitu sebanyak 1,738 kes.

Katanya, ia turut disokong dengan pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menegaskan sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan bagi tiga bulan pertama tahun ini.

“Keadaan ini sangat membimbangkan dan saya percaya perkara yang berlaku ada kaitan dengan tekanan hidup yang dihadapi oleh seseorang semasa era pandemik Covid-19 yang kian mencabar.

“Ia juga berkaitan dengan tekanan hidup disebabkan faktor seperti kehilangan punca pendapatan, kawalan pergerakan yang ketat, terkurung di rumah dalam tempoh masa yang lama atau masalah masalah lain yang boleh menyebabkan seseorang tertekan sehingga menganggu kesihatan mental mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Mohd Hanip berkata, hakikatnya, masyarakat juga secara umum terkesan dengan norma baharu semasa era pandemik.

Ekoran itu katanya, pelbagai lapisan masyarakat perlu saling memberi sokongan dalam aspek yang tertentu terhadap mereka yang memerlukan seperti aspek kewangan, makanan dan psikososial.

“Pihak kerajaan harus berganding bahu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membina dan melaksanakan strategi yang lebih tersusun untuk membantu semua lapisan rakyat memerlukan supaya segala yang dirancang sampai kepada sasaran.

“Pada masa yang sama, ahli masyarakat juga berperanan membantu dalam aspek yang diperlukan. Mereka perlu meningkatkan perasaan empati dengan jiran seperti bertanya khabar dan berkongsi masalah dengan memberi sokongan serta mencari jalan penyelesaian bersama-sama sekiranya perlu.

“Gangguan kesihatan mental boleh mendorong kepada tingkah laku negatif yang tidak diingini. Justeru itu, meningkatkan kesihatan mental seseorang, ahli keluarga perlu lebih sensitif terhadap perubahan tutur kata, emosi dan tingkah laku yang berlaku kepada ahli keluarga,” katanya.

Dr Mohd Hanip berkata, kita perlu membantu dengan memberi sokongan, meningkatkan keperihatinan dan sering berada bersama-sama menghadapi tekanan yang dihadapinya.

Katanya, masyarakat perlu meningkatkan suasana keceriaan dan keharmonian dalam sesebuah keluarga serta tidak membiarkan ada mereka menghadapi tekanan secara bersendirian sehingga boleh mengakibatkan perasaan putus asa, mengasingkan diri dan hilang harapan untuk meneruskan kehidupan.

“Selain itu, mereka juga boleh meningkatkan nilai kesyukuran dengan membandingkan orang lain yang lebih susah berbanding dirinya,” katanya.

Dr Mohd Hanip berkata, masyarakat juga boleh memainkan peranan yang termampu dengan memberi bantuan seperti makanan dan termasuk sokongan psikososial.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|