TABS, SABAH FC berkalobarasi jayakan pembangunan belia

TABS, SABAH FC berkalobarasi jayakan pembangunan belia

Kota Kinabalu: Tunas Asas Bolasepak Sabah (TABS) SAFA Bandaraya bersetuju mewujudkan kalobarasi dengan Sabah FC bagi program pembangunan bola sepak belia kelab berkenaan.

Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Noor berkata, pada dasarnya, pihaknya sudah bersetuju dengan kerjasama kedua-dua pihak berhubung program berkenaan.

Katanya, beliau bersama timbalannya, Lokman Sunggim sudah membuat perbincangan dengan Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Olerenshaw baru-baru ini bagi memuktamadkan kerjasama berkenaan.

“Melalui kalobarasi itu, TABS akan menyediakan dua pasukan kategori bawah 10 tahun dan bawah 17 tahun untuk program pembangunan belia dan mewakili Sabah FC untuk menyertai sebarang kejohanan antarabangsa, kebangsaan dan liga tempatan bagi peringkat umur itu.

“Pasukan TABS juga akan bertanding mewakili Sabah FC dalam pelbagai peringkat umur dalam Liga Bolasepak Remaja Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sulaiman berkata, menerusi kerjasama itu, Sabah FC bersetuju membantu TABS bagi memberi meningkatkan pendidikan dalam aspek kejurulatihan selain menyediakan jersi dan kit peralatan sukan sepanjang tempoh kerjasama kedua-dua pihak.

Katanya, satu memorandum persefahaman kedua-dua pihak akan dimeterai dalam masa terdekat.

“Kalobarasi itu dijangka akan mengambil masa lima tahun dan dijadual berakhir pada 2026,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, sebagai sebuah badan yang sudah lama menggendalikan program pembangunan bolasepak akar umbi di negeri ini, TABS sudah berjaya melahirkan ramai pemain untuk mewakili pasukan senior termasuk Sabah FC, skuad Piala Presiden dan Piala Belia sebelum ini.

“KIta berharap kalobarasi dengan Sabah FC, sebuah kelab Liga Super sudah tentunya dapat membantu merancakkan lagi program pembangunan untuk memajukan mutu bolasepak di Sabah,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|