MCMC bantu tangani masalah internet Kampung Ranggom, Keningau

MCMC bantu tangani masalah internet Kampung Ranggom, Keningau

Kota Kinabalu: Masalah capaian internet lemah yang dihadapi seorang pelajar tingkatan lima di Kampung Ranggom, Keningau, di sini, mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pelajar bernama Atiqah Nurqistina Jamain itu sudah ditemui pihak MCMC dan wakil penyedia perkhidmatan beberapa hari lalu bagi memahami masalah serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

Kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat MCMC, menegaskan, pelbagai usaha giat diambil bagi memastikan masalah kesalinghubungan di kawasan berkenaan ditangani dengan segera.

Katanya, ketika lawatan berkenaan, ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah pelajar terbabit dan hasil ujian mendapati liputan di lokasi adalah tidak memuaskan.

“Sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang dihadapi adik Atiqah Nurqistina, kerja-kerja pengoptimuman akan dijalankan oleh pihak Maxis di lokasi menara terdekat iaitu di Kampung Labak Baru Bingkor.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelajar terbabit juga boleh mendaftar dan menjadi ahli Pusat Internet Komuniti (PIK),” katanya.

Menurutnya, sepanjang PKP ini, pelajar terbabit boleh mengguna pakai kemudahan Wifi yang sedia ada di PIK tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika PKP dan boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

Katanya, bagi penyelesaian jangka panjang pula, solusi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah pun dirancang.

“Sebuah menara akan dibina oleh pihak Celcom menerusi projek JENDELA di Kampung Sungai Apin-Apin yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kampung Ranggom.

“Pembinaan menara ini yang dijangka siap pada April 2022 akan menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi oleh pelajar terbabit dan para penduduk di sekitar Kampung Ranggom,” katanya.

– Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|