Kenyataan Raymond Ahuar, polis perlu ambil tindakan: ARMADA Sabah

Kenyataan Raymond Ahuar, polis perlu ambil tindakan: ARMADA Sabah

Kota Kinabalu: Armada Bersatu Sabah meminta polis mengambil tindakan terhadap Ketua Cabang Keadilan Pensiangan kerana menyebarkan berita palsu melalui kenyataan medianya semalam yang mendakwa “kanak-kanak dijual ibu sendiri”, yang terbukti tidak benar dan fitnah.

Naib Ketua Armada Bersatu Negeri, Rafie Robert merujuk kepada kenyataan dikeluarkan oleh Raymond Ahuar yang bertajuk ‘PDRM Berjaya Menyelamatkan Kanak-Kanak Dijual Ibu Sendiri, Bukti Kesengsaraan Rakyat Hari Ini’.

Katanya, dalam kenyataan tersebut Raymond mendakwa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Daerah Keningau telah berjaya menyelamatkan tiga beradik daripada dijual oleh ibu kandung mereka.

Raymond yang juga Ketua AMK Sabah dan Ahli MPP Keadilan juga menggunakan ‘kejadian’ yang didakwanya itu untuk kepentingan politik peribadinya untuk menghasut rakyat dengan mengatakan para Menteri dengan elaun puluhan dan ratusan ribu terus bermain politik tanpa melihat kesengsaraan rakyat.

Selain itu beliau juga menuduh Kerajaan yang ada hari ini jelas gagal menjaga kebajikan rakyat.

“Tetapi Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, ketika ditanya oleh pemberita, telah menafikan ada kejadian seperti itu berlaku.

“Temberangnya terbongkar, terbukti beliau telah menyebarkan berita palsu dan fitnah terhadap kerajaan,” kata Rafie dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata dalam satu kenyataan hari ini meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar.

Katanya, ia dibimbangi akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli masyarakat sehingga menimbul perkara tidak diingini.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|