Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik titah Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebenaran bersidang parlimen sejurus tempoh darurat tamat nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkenan tersebut sekaligus membuktikan Baginda Agong selaku Ketua Negara meletakkan sistem demokrasi pada tahap tertinggi.
“Keputusan ini membuktikan Tuanku mengutamakan prinsip keluruhan Perlembagaan dan ini selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat dan Negara,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika memberi respon berhubung keputusan khas majlis Raja-Raja Melayu, hari ini.
Sementara itu, Bung Moktar turut meminta agar semua ahli Parlimen tidak kiralah dari pihak kerajaan mahupun pembangkang mengambil ruang dan peluang ini untuk kembali bersidang.
“Bahaskanlah secara serius serta objektif untuk mencari jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini, “katanya.
Terdahulu, dalam keputusan di Istana Negara hari ini, Raja-Raja Pemerintah bersependapat tiada keperluan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos hadapan.
Dalam masa yang sama, Raja-Raja Pemerintah turut senada agar sidang parlimen diadakan segera, begitu juga dengan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
-Deasoka