Manfaatkan peluang vaksinasi secara ‘walk-in’

Manfaatkan peluang vaksinasi secara ‘walk-in’

Kota Kinabalu: Orang ramai di negeri ini digesa supaya memanfaatkan peluang disediakan kerajaan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara tanpa temujanji atau ‘walk-in’ di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan, berkata langkah itu penting bagi mempercepat imuniti kelompok agar rakyat negeri ini dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Ambil peluang yang diberikan ini, hadir ke PPV jika temujanji melalui aplikasi MySejahtera belum memberikan tarikh bagi anda menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kita mahu menjalani kehidupan seperti sebelum ini dan untuk tujuan itu, kita mesti mendapatkan vaksin Civid-19 untuk membentuk perlindungan imuniti berkelompok, melindungi diri kita, orang sekeliling kita dan negara kita, sekaligus membentuk persekitaran yang sihat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, usaha berterusan kerajaan dalam memastikan semua penduduk tanpa mengira status warga negara mendapatkan vaksin Covid-19 lengkap wajar diberi kerjasama dan disokong.

“Tidak wajar jika ada pihak khasnya mereka yang anti vaksin, menyebarkan informasi tidak sahih mengenai vaksin, menuduh kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan uji kaji dan banyak lagi.

“Semua itu adalah sesuatu yang tidak bermoral dan tidak seatutnya dilakukan kerana kita semua sedia maklum, usaha kerajaan sejak awal untuk membendung Covid-19 di negara kita.

“Kita juga amat bersyukur kerana Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa vaksin dos tunggal CanSino akan terus diberi keutamaan kepada Sabah dan lebih banyak bekalan akan dihantar.

“Usaha ini memudahkan pergerakan sukarelawan dan petugas yang memberikan suntikan vaksin kepada semua penduduk khasnya bagi mereka yang berada di kawasan terpencil,” katanya.

Sementara itu, David turut menyatakan penghargaan terhadap usaha Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengambil langkah segera menghantar bantuan bagi menangani pandemik Covid-19 di negeri ini.

“Isnin lalu, ketika lawatan kerja Khairy ke Sabah, banyak pengumuman yang menggembirakan rakyat Sabah terutama dari segi vaksinasi dan keperluan untuk menangani pandemik Covid-19 di Sabah.

“Ini termasuk usaha ‘mobile outreach’ yang akan dijalankan untuk mempercepatkan lagi proses pemberian vaksinasi kepada penduduk di seluruh negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|