Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan pendirian parti itu untuk kekal teguh bersama rakyat mempertahankan hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata sehubungan itu PBS tidak akan berdiam diri dalam menyuarakan pendirian berkenaan jika ada usaha untuk menidakkan kebebasan beragama dalam negara ini.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada sebarang cadangan atau usul rang undang-undang (RUU) yang menyentuh isu itu dibawa ke Kabinet persekutuan untuk dibincang atau bagi mendapatkan persetujuan anggota Kabinet.
“Setakat ini, RUU yang dicadangkan berkaitan agama Islam yang disebut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, tidak pernah dibawa ke Kabinet, sama ada untuk perbincangan atau persetujuan.
“Kemungkinan, perkara itu masih di peringkat awal dan perbincangan dalaman di Bahagian Hal Ehwal Agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merujuk kepada gambar mengenai Roadmap Pelan Tuju Pemerkasaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menunjukkan empat cadangan RUU baharu.
Maximus menekankan, jika perkara itu dibangkitkan, beliau yakin rakan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti PBS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA, MIC, dan parti politik lain akan bersuara dan menyatakan pendirian mereka untuk menentang jika undang-undang yang diusulkan itu mempunyai kesan atau menjejaskan kebebasan masyarakat bukan Islam mengamalkan agama mereka.
“PBS yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghormati kebebasan ini yang menjadi aset berharga negara kita sejak penubuhan Persekutuan Malaysia, lebih-lebih lagi ia selari dengan visi Perdana Menteri untuk membina Keluarga Malaysia.
“Kami (PBS) akan tetap berdiri teguh, bersama rakyat untuk memperjuangkan dan mempertahankan kebebasan beragama, seperti yang kita nikmati selama ini, kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
“PBS memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, bahawa kami akan sentiasa setia dan kekal pada perjuangan dan matlamat politik, termasuk mempertahankan hak kebebasan beragama,” katanya.
Dalam gambar yang disebarkan berkaitan RUU baharu itu, empat aktbaharu disebut iaitu RUU Wakaf, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan RUU Kawalan dan Sekatan terhadap Pengembangan Agama Bukan Islam.
-Deasoka