Majlis harijadi, tempat kerja cetus 2 kluster baharu

Majlis harijadi, tempat kerja cetus 2 kluster baharu

Kota Kinabalu: Sabah hari ini merekodkan dua kluster baharu Covid-19 di Kota Kinabalu dan Tawau membabitkan penularan di tempat kerja dan sambutan harijadi.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata, kluster dikenali sebagai Kluster Samedra membabitkan jangkitan dalam kalangan kakitangan di sebuah pelantar minyak.

“Kes indeks merupakan penyelia lelaki berusia 35 yang mula bergejala sejak 12 Jun, sebelum disahkan positif Covid-19 hasil saringan pekerjaan pada tarikh sama di klinik swasta.

“Turut dikesan positif ialah 24 kontak dalam kalangan rakan sekerja kes indeks, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 25 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, bagi Kluster Serudung Baru dikesan membabitkan Mukim Balung, di Tawau.

Katanya, kluster ini berkait rapat dengan majlis harijadi yang diadakan di rumah kes indeks pada 12 Jun lalu, serta dihadiri ahli keluarga.

“Kes indeks merupakan warga emas lelaki berumur 60 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 16 Jun di Klinik Kesihatan Apas Balung, selepas bergejala sejak 13 Jun.

“Susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun mendapati sembilan individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif.

“Setakat hari ini, sembilan lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 19 kes,” katanya.

Sabah hari ini melaporkan 166 kes positif COVID-19 yang baharu, dengan dua kes kematian direkodkan dari daerah Tawau.

Kota Kinabalu kembali mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 44 kes, diikuti Tawau (32 kes) dan Sandakan (16 kes).

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|