Bongkar sindiket judi dalam talian, beri rasuah kepada penguat kuasa

Bongkar sindiket judi dalam talian, beri rasuah kepada penguat kuasa

Kota Kinabalu: Satu sindiket perjudian dalam talian di Tawau yang dipercayai memberi ‘suapan’ kepada penguat kuasa untuk terus beroperasi sejak beberapa tahun lalu, akhirnya terbongkar, dalam serbuan, hari ini.

Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dilakukan Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu termasuk dua wanita dan seorang lelaki dipercayai sebagai ketua kumpulan yang aktif menjalankan aktiviti perjudian di Tawau.

Menurut sumber, dalam serbun itu, turut dirampas iaitu sejumlah wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 selain sitaan akaun dianggarkan lebih RM300,000 membabitkan empat akaun bank milik suspek yang dipercayai hasil daripada kegiatan aktiviti perjudian haram.

”Selain daripada itu, SPRM juga turut melaksanakan Perintah Pembekuaan Akaun di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) milik suspek.

”Lelaki terbabit dipercayai membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguat kuasa di sekitar Tawau bagi melindungi kegiatan perjudian haram yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tiga individu terbabit dan berkata kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 .

Katanya, semua individu yang juga warga tempatan terbabit akan direman bagi membantu siasatan dan pihaknya juga tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat selepas ini.

Antara barang yang dirampas oleh SPRM dalam serbuan berkenaan.
Wang tunai dianggarkan RM40,000 antara yang dirampas.

– Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|