300 kompaun dikeluarkan di KK, gagal patuh SOP PKP 3.0

300 kompaun dikeluarkan di KK, gagal patuh SOP PKP 3.0

Kota Kinabalu: Sebanyak 300 kompaun dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kesalahan paling banyak dikenal pasti adalah tidak memakai pelitup separuh muka, tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak mengimbas kod MySejahtera.

“Untuk rekod juga, jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan IPD Kota Kinabalu sejak PKP 1.0 hingga PKP 3.0 dilaksanakan iaitu sebanyak 2,036 kompaun,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Mohd Zaidi turut menjelaskan masih ada individu yang cuba merentas daerah tanpa kebenaran disebabkan salah faham mengenai pergerakan 10 kilometer (km) sebelum ini.

“Cubaan rentas daerah tanpa kebenaran pun ada dikeluarkan kompaun tetapi banyak juga diarah berpatah balik kerana salah faham
kebenaran yang digunakan 10 km untuk keluar membeli barang namun bukan bermakna boleh merentas daerah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai sentiasa peka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta saranan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

– Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|