Kanak-kanak lemas mandi bersama rakan

Kanak-kanak lemas mandi bersama rakan

Kota Kinabalu: Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang hilang ketika mandi sungai bersama lima rakannya, semalam, ditemui di Sungai Inanam di bawah jambatan berhampiran stesen minyak di Jalan Tuaran Lama, pagi tadi.

Mangsa Almunel Unim, 11, ditemui pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang menjalankan operasi menyelamat kira-kira jam 6.25 pagi tadi.

Difahamkan, kanak-kanak warga asing itu dikatakan mandi bersama lima rakannya dii bawah jambatan Sungai Inanam kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, sebaik mangsa didakwa lemas dan gagal diselamatkan, rakan-rakan mangsa kemudian pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa.

Ketua BBP Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima maklumat jam 9.06 malam tadi, selepas ibu kanak-kanak terbabit datang ke balai untuk meminta pertolongan mencari anaknya.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan
seramai 12 anggota dan seorang pegawai serta dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Kinabalu.

“Mangsa gagal ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.45 malam tadi sebelum disambung semula pada jam 6 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, sebaik operasi disambung semula, mangsa berjaya ditemui pada jam 6.25 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Mayat kanak-kanak ditemui pasukan bomba di bawah jambatan di Sungai Inanam, Kota Kinabalu.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|