Lori sampah DBKK terbakar, pekerja selamat

Lori sampah DBKK terbakar, pekerja selamat

Penampang: Beberapa pekerja pembersihan terselamat selepas lori sampah milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terbakar dalam kejadian di Jalan Santong, pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pekerja yang menyedari asap keluar dari bahagian depan lori bertindak pantas berhenti di lorong kecemasan lalu bertindak keluar daripada kenderaan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, lori sampah milik DBKK sedang terbakar 70 peratus dan pasukan bomba bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera.

“Operasi terkawal pada jam 9.55 pagi dan tamat dua minit kemudian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada kecederaan dan kematian dilaporkan terbabit.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|