ATB2 gagalkan cubaan seludup minyak bersubsidi

ATB2 gagalkan cubaan seludup minyak bersubsidi

Semporna: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) mematahkan cubaan penyeludupan minyak bersubsidi di perairan Pulau Bohayen, di sini, semalam.

Semua minyak berkenaan yang dibawa dua bot laju dikesan pasukan petugas yang keluar membuat rondaan pada jam 2.45 pagi.

Kenyataan yang dikeluarkan ATB2 berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan bergerak dari arah Daerah Semporna menuju ke Pulau Sitangkai, Filipina.

Katanya, pasukan operasi terus melakukan tindakan mengejar untuk memintas kedua-dua bot berkenaan.

“Bagaimanapun, pasukan operasi hanya berjaya memintas sebuah bot laju manakala sebuah lagi bot laju dapat meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dinaiki dua awak-awak lelaki warganegara Filipina dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 35 tong petrol berkapasiti 35 liter ditemui di dalam bot berkenaan.

“Bot berkenaan terus ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 selain kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan
diri yang sah.

“Kedua-dua suspek terus dibawa ke Hospital Semporna untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi siasatan lanjut.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ESSCOM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam usaha menjamin keselamatan di Perairan Pantai Timur Sabah.

Sementara itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad mengucapkan tahniah kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB2 dan pasukan bertugas atas kejayaan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan anggota operasi supaya tidak mudah leka dan sentiasa meningkatkan kesiagaan serta keupayaan operasi yang optimum bagi menangani cabaran keselamatan serta lain-lain ancaman sepanjang masa.

“Operasi akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan dan mengetatkan lagi kawalan sempadan melalui pelaksanaan Op Pasir dan Op Benteng Bersama di Perairan Pantai Timur Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|