Kerajaan negeri terus komited bangunkan negeri – Hajiji

Kerajaan negeri terus komited bangunkan negeri – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk melonjakkan semula pembangunan Sabah dalam semua aspek seperti digariskan dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada 29 Mac lalu.

Beliau berkata, pelbagai usaha dirancang dan dilaksanakan ke arah membangunkan negeri bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan yang sewajarnya.

“Sebagai kerajaan negeri yang prihatin, berprinsip, bertanggungjawab dan komited, satu bentuk masterplan yang bersifat komprehensif dalam membangunkan negeri Sabah, dengan memanfaatkan kekuatan tersendiri dan jati diri semangat cintakan negeri Sabah sebagai tunjangnya telah dibentuk.

“Dengan ini terhasillah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025) yang telah dilancarkan pada 29 Mac lalu. Pelan Pembangunan SMJ ini memayungi pelbagai pelan sektoral sedia ada.

“Ia juga sejajar dengan pelan di peringkat nasional dan global iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Sustainable Development Goals 2030 (SDG2030).

“Pelan ini ditunjangi dengan tiga elemen iaitu S: Sektor Utama Fokus Pertumbuhan Ekonomi iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta J: Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

“Sejak pelan ini dihasilkan, pelbagai inisiatif di bawah elemen-elemen ini telah memberi manfaat kepada rakyat di negeri Sabah,” katanya dalam ucapannya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri sempena Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin Ke-68 di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata penularan pandemik Covid-19 di Sabah menunjukkan ‘trend’ penurunan hasil pelbagai usaha dan strategi pemberian vaksinasi kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Katanya, situasi itu jelas menunjukkan mereka yang lengkap dos suntikan vaksin adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

“Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Sabah telah mencapai kadar vaksinasi 80 peratus imuniti kelompok.

“Setakat 29 September 2021, jumlah penduduk dewasa yang lengkap suntikan vaksin adalah sebanyak 64.3 peratus manakala jumlah penduduk dewasa sekurang-kurangnya menerima satu dos adalah 73.9 peratus.

“Perkembangan yang positif ini menyebabkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka di Sabah bermula 1 Oktober ini, dengan memastikan semua pekerja dan pelanggan lengkap suntikan vaksin serta berstatus risiko rendah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata rakyat amat menghargai kestabilan dan keharmonian hidup yang dikecapi sejak turun temurun hasil perpaduan dan persefahaman yang wujud dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah di bawah naungan Yang di-Pertua Negeri sebagai Ketua Negeri.

Jelas Hajiji, perasaan kekitaan dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Sabah adalah nilai budaya hidup yang perlu terus disemai dan diamalkan.

“Kerajaan negeri dan seluruh rakyat, berikrar untuk menumpahkan sepenuh taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk terus menaungi negeri Sabah yang tercinta ini.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan Negeri bersempena Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah pada tahun ini.

“Saya berharap agar pengurniaan ini akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam semua penerima anugerah untuk terus menabur bakti dan memperkukuhkan usaha untuk sama-sama memajukan Negeri Sabah yang tercinta agar negeri ini terus maju, makmur, aman dan sentosa,” katanya.

Istiadat berkenaan turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Hari Jadi Rasmi ke-68 Yang d-Pertua Negeri.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Bung Moktar, Noorainee dan Mohd Zuki adalah antara penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) sempena istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri pada hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|