Labuan: Hujan lebat berterusan sejak jam 7 malam tadi mengakibatkan Kampung Rancha-Rancha, di sini, dinaiki air dan memaksa penduduk dipindahkan.
Difahamkan, seramai 48 penduduk terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka mula ditenggelami air akibat banjir kilat.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Mohd Ishak Amran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.33 pagi.
Katanya, seramai 15 anggota dan pegawai bersama kelengkapan jentera dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, banjir di kawasan berkenaan didapati sudah meningkat ke paras pinggang dan membabitkan lapan rumah.
“Operasi memindahkan semua mangsa membabitkan 48 orang segera dilakukan dan semua mangsa ditempatkan di Dewan Ibu Pejabat JBPM Rancha-Rancha,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, keadaan cuaca ketika ini masih hujan dan dijangka akan berterusan.
Sehubungan itu, Mohd Ishak berkata, pasukan bomba akan sentiasa diletakkan dalam keadaam bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan sekiranya ada penduduk yang perlu dipindahkan.
-Deasoka