Lelaki maut terkena renjatan elektrik

Lelaki maut terkena renjatan elektrik

Sandakan: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam longkang dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di simpang masuk pekan Batu 8, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 30-an itu ditemui kira-kira jam 6.30 oleh orang awam sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan segera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam longkang selepas pihak Sabha Electricity Sdn Bhd memutuskan bekalan elektrik.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya

Katanya, mangsa dikenalpasti sebagai Mohd Nasir Hassan dan bukan warganegara Malaysia.

“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.18 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|