Labuan: Seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu dalam kejadian di Jalan Pohon Batu, berhampiran Simpang Lajau 28, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang tinggal di Kampung Patau-Patau 2 disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal, mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah pusat bandar menghala ke Pohon Batu.
Katanya, mangsa dipercayai terbabas selepas terlanggar bahagian tepi pembahagi jalan sebelum merempuh tiang lampu.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
– Deasoka